Laporan Lawatan Sambil Belajar ke Pantai Timur

Kelab Pelancongan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pantai Timur. Lawatan selama 3 hari 2 malam ini telah diadakan dari 27 hingga 29 Mei 2011 dengan penyertaan seramai 37 orang pelajar dan diiringi oleh 6 orang guru pengiring. Objektif utama lawatan ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada para pelajar untuk melawat tempat-tempat menarik sambil belajar yang terdapat di Pantai Timur.
Sebagaimana yang dirancangkan, tepat jam 9.00 malam pada 27 Mei 2011, kami telah bertolak dari sekolah dengan menaiki bas menuju ke Kelantan. Perjalanan yang memakan masa hampir 10 jam itu akhirnya tiba di Kota Bharu, Kelantan. Kami berhenti solat Subuh dan bersiap-siap di masjid. Destinasi pertama yang kami lawati ialah Rantau Panjang. Dari situ, kami berpeluang meninjau pelbagai aktiviti perniagaan yang berlaku di pasar bersempadan negara seberang. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk membeli beberapa barang cenderamata.
Setelah selesai berkunjung ke Rantau Panjang, kami berhenti makan tengahari dan solat sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Sesampainya di Terengganu, kami telah melawat Masjid Tengku Zaharah Tengah ataupun masjid terapung dan seterusnya mendaftar ke tempat penginapan yang telah ditetapkan bilik masing masing. Kami menginap selama satu malam di Impiana Chalet Marang. Pada jam 8.30 malam, kami tidak melepaskan peluang untuk pergi ke pantai memandangkan chalet yang kami duduki terletak bersebelahan pantai. Kami makan malam dan seterusnya masuk ke bilik untuk berehat.
Pada keesokan harinya iaitu 29 Mei 2011, seawal jam 7.00 pagi kami perlu bersiap untuk melawat KUZA yang kini dikenali sebagai Universiti  Sultan Zainal Abidin (UniSZA) iaitu sebuah IPTA yang terletak di Negeri Terengganu. Kami didedahkan tentang sejarah penubuhan UniSZA, syarat-syarat kemasukan ke universiti tersebut dan pelbagai pencapaian yang telah dicapai. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk melawat perpustakaan di universiti ini. Lawatan ke UniSZA ini memberi impak yang positif kepada kami untuk terus berusaha mencipta kejayaan kelak.
Pada jam 11.00 pagi, kami bertolak ke Taman Tamadun Islam dan Masjid Kristal. Di sini, kami telah melawat Taman Monumen yang memaparkan sebanyak 21 buah monumen Islam yang hebat dengan mengimbas kembali zaman kebangkitan Islam. Kami juga telah melawat sekitar sungai Terengganu dengan menaiki cruise selama 45 minit yang memperlihatkan keindahan sepanjang sungai dan keindahan seni bina Masjid Kristal.
Selesai melawat Taman Tamadun Islam, kami menunaikan solat di Masjid Kristal dan bertolak ke Pasar Payang yang merupakan salah satu tarikan di Terengganu. Pelbagai barang basah dan kedai barangan yang terdapat di Pasar Payang. Kami dapat melihat pelbagai jenis batik yang dijual dengan corak corak menarik.
Sebelum pulang ke sekolah, kami sempat berkunjung ke kilang batik Nor Arfa. Di sini lah terdapatnya batik yang berkualiti tinggi, songket dan sutera dijual. Kehadiran kami disambut baik oleh seluruh pekerja di sana. Malahan kami telah diajar cara untuk menghasilkan batik. Lawatan ke kilang batik ini sedikit sebanyak menambah pengetahuan kami tentang cara menghasilkan batik. Pada jam 6.00 petang, kami pulang ke Negeri Sembilan dan sampai di sekolah pada jam 4.00 pagi.
Secara keseluruhannya, lawatan ke Pantai Timur ini telah memberi banyak impak positif kepada kami. Pelbagai pengalaman yang kami perolehi sepanjang lawatan ini. Kami berasa sangat seronok dengan lawatan ini. Diharapkan lawatan sambil belajar ini akan diadakan lagi pada masa akan datang.